Wednesday, August 28, 2013

Maksud Bacaan Solat

“Yang pertama sekali akan dihisab pada hari kiamat adalah solat. Jika solatnya sempurna, maka sempurnalah seluruh amalannya. Dan jika solatnya buruk, maka buruklah amalan-amalannya yang lain.”


Firman Allah:”Dan dirikanlah olehmu solat, kerana sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar” [Al Ankabut 29:45]

Maksud atau Makna Bacaan Dalam Solat

Solat adalah tiang agama dan khusyuk adalah sangat penting dalam menunaikan solat,supaya solat yang dilakukan itu tidak sia-sia,InsyaAllah. Ketika mulut terkumat-kamit membaca bacaan-bacaan dalam solat, fahamkah kita akan maksud bacaan-bacaan tersebut?


Adalah penting untuk kita fahaminya kerana salah satu cara untuk khusyuk dalam solat adalah memahami segala perkataan yang dibaca ketika solat.
1. Takbiratul-Ihram
iaitu mengucapkan Allahu-Akbar untuk memulakan solat. Perkataan Allahu-Akbar itu tidak boleh ditukar dengan lafaz lain dan diucapkan tanpa rasa was-was.”Allah Maha Besar”
2. Doa Iftitah
“Allah Maha Besar sebesar-besarnya. Dan puji-pujian bagi Allah sebanyak-banyaknya. Dan Maha Suci Allah siang dan malam. Kuhadapkan mukaku, kepada yang menjadikan langit dan bumi, aku cenderung lagi berserah kepada Allah, dan bukanlah aku dari golongan orang-orang yang menyekutukan Allah. Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku, dan matiku kuserahkan hanya kepada Allah seru sekalian alam. Sekali-kali tidaklah aku menyekutukan-Nya. Dan dengan demikian aku ditugaskan, dan aku adalah dari golongan orang-orang Islam.”
3. Al-Fatihah
“Dengan nama Allah yg Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”
“Segala puji-pujian bagi Tuhan sekalian alam”
“Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”
“Raja bagi hari pembalasan”
“KepadaMu kami menyembah,dan kepadaMu kami meminta pertolongan”
“Tunjukkan kami jalan yang lurus”
“Iaitu jalan org yg Engkau telah kurniakan nikmat kpd mereka,bukan (jalan) org2 yg telah Engkau murkai,dan bukan pula (jalan) org2 yg sesat”
4. Bacaan ketika rukuk
“Maha suci Allah yang Maha Agung dengan sifat kepujian-Nya.”
5. I’tidal
“Allah mendengar akan orang yang memuji-Nya.”
“Ya Tuhan kami! Bagi-Mu segala puji.”

6. Bacaan ketika sujud

“Maha suci Allah yang Maha Tinggi dengan sifat kepujian-Nya.”
7. Bacaan ketika duduk di antara dua sujud
“Ya Allah ampunilah daku, rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku, rezekikanlah aku, berilah aku hidayah, sihatkanlah aku dan maafkanlah aku.”

8. Tahiyyat Awal

“Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.”
9. Tahiyyat akhir/Tasyahud akhir
“Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Kurniakanlah rahmat dan kesejahteraan Kepada junjungan mulia Muhammad saw dan ke atas ahli keluarga baginda yang mulia, sebagaimana rahmat dan kesejahteraan yang telah Engkau kurniakan kepada Ibrahim dan ahli keluarga Ibrahim. Dan limpahkanlah berkatMu kepada Muhammad dan ahli keluarga Muhammad seperti mana berkatMu kepada Ibrahim dan ahli keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau yang amat terpuji lagi amat mulia.”
10. Salam : Sekurang-kurang salam ialah “Assalamu’alaikum” bermaksud:
“salam sejahtera ke atas kamu.”
Doa Qunut:
“Ya Allah, tunjukkanlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau tunjukkan.
Sejahterakanlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau sejahterakan.
Pimpinlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau pimpinkan.
Berkatlah hendaknya untuk apa-apa yang telah Engkau berikan kepadaku.
Jauhkan aku dari segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan.
Sesungguhnya hanya Engkau sajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau.
Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperoleh pimpinanMu.
Dan tidak mulia orang yang Engkau musuhi, telah memberi berkat Engkau, oh Tuhan, dan Maha Tinggi Engkau.
Maka hanya untuk Engkau tetapkan.
Aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau.
Dirahmati Allah jugalah kiranya Muhammad, Nabi yang buta-huruf, dan keluarganya dan sahabat-sahabatnya, dan diberiNya kesejahteraan.”
InsyaAllah dengan memahami maksud bacaan-bacaan tersebut, kita dapat tingkatkan rasa khusyuk dalam setiap solat yang kita tunaikan.

Friday, August 16, 2013

Cara Komunikasi Dengan Anak

Dah lama tak update blog setelah mempunyai anak.. banyak perkara yang aku pelajari bila menjadi seorang ibu. Memang tak dapat dinafikan, jadi seorang ibu bukan mudah malah memerlukan kesabaran yang tinggi. Tapi anakku tak pernah menyusahkanku.. apa yang dia buat, akan membuatkanku bahagia walaupun bersepah rumah dengan mainan dan pampers yang ditabur oleh anakku. Di sini, aku ingin kongsikan tips yang telah aku baca melalui entry di FB untuk panduan kita semua (juga mudah untukku rujuk bila anak semakin membesar).


Tips untuk ibu dan bapa.

'Aisyah sedang membesar

Kanak-kanak dalam lingkungan umur 2-7 tahun (preschool memang sering dilabelkan lasak kerana ingin mencuba apa sahaja yang dilihat dan mereka juga didapati ‘tidak dengar kata’. Apa yang berlaku ialah ketiadaan komunikasi dua hala di antara ibu bapa dan anak.

Di samping itu kanak-kanak sebenarnya tidak dapat mendengar arahan dengan baik kerana tidak memberikan perhatian kepada suara ibu bapa. Sebaliknya perhatian mereka hanya tertumpu kepada permainan mereka dan alam sekeliling yang ingin diterokai.

Kanak-kanak mempunyai komunikasi verbal yang sangat terhad disebabkan mereka tidak mempunyai pengetahuan (input) tentangnya. Mereka juga baru sahaja belajar bercakap, oleh itu ibu bapa kerapkali tidak dapat memahami apakah sebenarnya yang dimahukan oleh anak.

Maka jadilah anak tersebut menjerit, membaling barang, memusnahkan permainan dan sebagainya lantaran frustration (kekecewaan) kerana hajatnya tidak difahami dan dipenuhi. Kanak-kanak pun tahu kecewa sebenarnya tuan/puan. Justeru itu siapakah yang bersalah? Sudah tentulah orang dewasa kerana tidak berusaha untuk memahami kehendak si anak.
Ada beberapa tips yang boleh diberikan untuk tuan/puan berusaha mengatasi masalah ini.

1. Kanak-kanak sangat memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian dari kedua ibu bapa. Sekiranya bapa jarang mendampingi anak, sudah tentulah anak akan mengalihkan perhatian kepada ibunya.

Oleh itu cuba fahami bahasa anak dengan bertanya secara lemah lembut kepadanya. Tinggalkan sebentar apa yang tuan/puan lakukan dan berikan perhatian kepada anak. Pandang mukanya dan tatap matanya. Berapa kalikah dalam sehari kita bertentang mata dengan anak. Eye contact sangat penting di dalam apa-apa jenis komunikasi walaupun dengan anak kecil.

2. Sebaik sahaja tuan/puan pulang dari bekerja dan mengambil anak dari nurseri, luangkan masa setengah jam terlebih dahulu bersama anak. Jangan terus ke dapur memasak, angkat kain dsb. Berikan perhatian pertama tuan/puan kepada anak.

Tanyakan dengan lembut dan mesra apa yang dibuatnya seharian di rumah bersama bibik atau di nurseri/tadika. Dukung dan peluklah dia serta nyatakan di telinganya, papa/mama sangat sayangkannya. Bermain-main dengannya lebih kurang setengah jam, barulah puan minta diri untuk ke dapur dsb. Insya Allah anak akan lebih mendengar kata kerana perhatian yang diharapkannya telah diperolehi.

3. Ajarkan anak dengan perkataan “tunggu sebentar boleh” sekiranya anak perlukan sesuatu dan tuan/puan tidak dapat berikannya kerana sedang sibuk memasak dsb. Dan layanilah dia sebaik sahaja berkesempatan.

Jangan buat tak tahu sahaja atau bersikap acuh tidak acuh kerana sebenarnya tuan/puan sedang mengajar anak agar tidak menghiraukan tuan/puan sekiranya tuan/puan pula yang memanggilnya.

The right way to make her listen to you is by listening to her first. Kita tidak boleh expect anak patuh setiap arahan kita kerana Allah tidak menjadikan ia berlaku demikian. Ingatlah anak belajar dengan meniru setiap perbuatan kita. Buktinya boleh dilihat apabila dia melayani adiknya pula.

4. Cuba fahami personaliti anak. Setiap anak dikurniakan oleh Allah dengan personalitinya yang tersendiri. Anak yang suka menjerit walaupun tidak mempunyai apa-apa sebab boleh dikategorikan sebagai personality Sanguine. Anak ini memang sangat sukakan perhatian. Oleh itu jika anak ini menjerit, berilah perhatian kepadanya seperti memandang ke arahnya, bertepuk tangan sekiranya dia menyanyi dengan kuat dsb.

Walau bagaimanapun, tuan/puan boleh mengajarkan kepadanya bahawa perbuatan suka menjerit adalah tidak bagus kerana boleh mengganggu adik kecil yang sedang tidur.Sekiranya anak suka menjerit, tuan/puan boleh suruh dia mengadap dinding yang kosong dan menjerit di situ berulangkali sehingga dia letih.

Insya Allah dia akan kurang suka kepada menjerit kerana mendapati aktiviti tersebut memenatkan. Mungkin dia akan berhenti menjerit atau membuat perangai beberapa hari. Sekiranya dia mengulanginya semula, puan suruh dia lakukan perkara yang sama sehinggalah dia berhenti lama kelamaan.

Berikan dia hadiah (gula-gula dsb) jika tuan/puan dapati dia tidak menjerit atau semakin kurang menjerit dalam satu hari sebagai positive reinforcement. Katakan padanya, papa/mama beri hadiah coklat kerana kakak tidak menjerit hari ini. Dengan ini anak akan faham bahawa papa/mama tidak menyukai perbuatan tersebut.

5. Sentiasa ingatkan diri tuan/puan dengan sifat positif anak. Keletah dan karenah anak yang menghiburkan. Tumpukan perhatian tuan/puan terhadap kelebihan tersebut, jangan ingati kekurangan anak dan doakan setiap kali selesai sembahyang agar Allah memudahkan tuan/puan mengubah sifat negatifnya.

Bayangkan anak dengan semua sifat-sifat positif yang tuan/puan inginkan setiap kali tuan/puan berinteraksi dengan anak. Boleh juga tuan/puan berbuat demikian setengah jam setelah anak sudah masuk tidur dan nyenyak tidurnya. Usapkan dengan lembut di ubun-ubun kepalanya, cium dan bacakan selawat serta sebutkan harapan tuan/puan kepadanya.

Misalnya ‘papa/mama sayang kakak, papa/mama mahu kakak tidak menjerit lagi’. Sebutkan perkara spesifik yang tuan/puan mahukan. Jangan hanya menyebut ‘papa/mama harap kakak berubah’ atau menyebut dengan nada negatif seperti ‘mpapa/ama tak suka kakak menjerit’. Teknik ini dipanggil imagery atau visualization dan didapati sangat berkesan jika dilakukan berulangkali. Tuan/Puan juga boleh membacakan surah AlFatihah, Ayat Kursi dan 3 Kul kepada anak setiap kali mereka masuk tidur untuk memelihara dari gangguan syaitan. Tuan/Puan, mendidik anak tidak mudah apatah lagi di zaman globalisasi yang serba mencabar.

Semoga tuan/puan lebih bersabar, jangan ignore anak dan cubalah memahaminya. Fahami dunia anak yang tiada masalah, penuh keseronokan dan penerokaan. Bayangkan perasaan anak apabila dimarahi sedangkan apa yang cuba dibuatnya hanyalah meneroka alam sekeliling.

Anak-anak hidup dalam dunia yang tiada peraturan. Ibubapalah yang membuat peraturan, disiplin dan juga galakan kepada anak. Belilah buku-buku tentang panduan mendidik anak, mengenali personaliti anak dan cara-cara menghadapinya.

Sekian, semoga Allah mengurniakan rahmat dan kebijaksanaan kepada tuan/puan. Jangan berputus asa dengan anak kerana ia akan membuatkan anak berputus asa terhadap kita sebagai ibubapanya.

Info dikongsi dari : My Kewpies Outlet dan Excel Qhalif